Malaysia Midnight Sales Carnival Pecah Rekod Pengunjung, Pacu Pelancongan dan Ekonomi Melaka

MELAKA, 9 Mei 2025 – Karnival Malaysia Midnight Sales (Karnival Jualan Larut Malam Malaysia) edisi Mei 2025 mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran pengunjung yang memberangsangkan di Mahkota Parade, sekaligus menyumbang kepada lonjakan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi tempatan secara signifikan.

Acara ini dianjurkan bersempena inisiatif Melaka Bila Larut Malam dan menggabungkan pengalaman membeli-belah lewat malam, hiburan langsung dan persembahan budaya dalam satu suasana yang meriah. Sambutan hebat turut dirasai dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dari Singapura dan Indonesia, yang mengambil peluang bercuti sambil berbelanja.
Kehadiran pelancong yang tinggi turut memberi kesan positif terhadap kadar penginapan hotel dan menguntungkan pelbagai sektor perniagaan termasuk peruncitan, makanan dan minuman, kraftangan, hiburan, serta perkhidmatan e-hailing.
Karnival ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam, dengan kemuncak acara Special Sale Moment antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam pada 3 Mei lalu. Sepanjang dua jam tersebut, pengunjung yang berbelanja minimum RM250 berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM20,000.
Lebih 50 aktiviti turut disajikan sepanjang karnival, termasuk penampilan khas selebriti Datuk Awie dan Yasser Atak, cabutan bertuah, hujan belon, permainan interaktif seperti “Lucky Pick” dan “Spin & Win”, serta pertandingan seperti pencarian harta karun, mewarna, melukis dan pakaian Hari Pekerja. Persembahan tradisional, flash mob, pertunjukan silap mata, seni arca belon, lukisan muka, seni pasir, congkak gergasi, seni inai dan banyak lagi turut menyerikan suasana.
Penganjuran acara ini mendapat sokongan padu daripada Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Mahkota Parade, Parkson, Grand Swiss-Belhotel Melaka dan Ojas Electronic.
Jalakx Sdn Bhd, selaku penganjur, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi, penaja dan penyokong yang menyumbang kepada kejayaan acara ini. Karnival ini dijangka kembali tahun hadapan dengan pengalaman membeli-belah yang lebih besar dan menghiburkan.