Karnival ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara, malah membuka peluang ekonomi kepada pelbagai lapisan masyarakat tempatan.

KARNIVAL Jualan Tengah Malam Malaysia yang berlangsung di Mahkota Parade, Melaka mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menarik kehadiran pengunjung tertinggi sejak dianjurkan.
Acara berkonsep beli-belah larut malam yang diadakan sempena program Melaka Bila Larut Malam itu turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Pusat beli-belah Mahkota Parade dipenuhi ribuan pengunjung sejak pagi hingga tengah malam, manakala hotel-hotel di sekitar bandar raya turut mencatat kadar penginapan tinggi ekoran kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara, khususnya Singapura dan Indonesia.
Penganjuran karnival ini yang bermula seawal pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam telah memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor, termasuk peruncitan, makanan dan minuman, kraftangan, perkhidmatan e-hailing serta golongan penghibur jalanan.

Kemuncak acara adalah ‘Special Sale Moment’ yang berlangsung dari pukul 10 malam hingga 12 tengah malam pada 3 Mei lalu, yang menyaksikan pengunjung berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM20,000 dengan setiap pembelian minimum RM250.